CeritaPendek - Kehilangan .
Pagi itu F bangun tidur awal. Bunyi
ketukan periuk, belanga, kuali berlaga-laga semasa kerja-kerja mencuci
perkakasan kenduri kahwin jelas kedengaran.
Semalam majlis kerja kahwin adik bongsu F
telah selesai diadakan. Mungkin itulah kali terakhir majlis kerja
kahwin diadakan di rumah pusaka itu kerana kesemua sembilan adik beradik
F telahpun berkahwin.
Tanpa lengah, F bergegas ke bilik air
untuk membersihkan diri kerana banyak tugasan yang perlu diselesaikan.
Selepas itu, F sempat menjamah sekeping roti canai sebagai pengalas
perut.
Apabila keluar sahaja di muka pintu,
terlihat sanak saudara sibuk mengemas. Ada yang mencuci periuk, kuali.
Ada yang menyapu sampah. Ada yang menyusun dan mengira
peralatan-peralatan yang disewa sebelum pemiliknya mengambil semula. Ada
juga yang sedang berborak-borak kosong, barangkali berkisarkan majlis
kerja kahwin semalam.
F membuat keputusan untuk membantu
mengira peralatan-peralatan majlis perkahwinan. Satu persatu dikira.
Dari pinggan mangkuk, gelas, meja, cengtong sehinggalah ke bekas mengisi
air batu semuanya dikira dengan teliti.
Peralatan yang tidak cukup, dicari
sehingga dapat. Namun, ada yang terus hilang tanpa dapat dikesan dan ada
juga pecah. Semua itu dicatitkan pada selembar kertas untuk makluman
kepada pemilik. Mungkin yang hilang atau pecah itu perlu diganti semula.
Jam menunjukan pukul 11.30 pagi.
Kerja-kerja mengemas telahpun siap. Masing-masing hanya duduk di bawah
khemah sambil menikmati hidangan kopi O dan nasi goreng.
Selesai menjamu selera, F kembali ke bilik tidur. Niatnya mahu berehat dan meregangkan badan yang lelah, namun F terus terlelap.
*****
F mempunyai seorang isteri dan dua orang
anak yang masih kecil. Anak sulongnya lelaki berusia 4 tahun dan
seorang lagi perempuan baru berusia 5 bulan.
Pada hari itu F sekeluarga amat teruja
kerana hendak berpindah ke rumah yang baru. Rumah baru F merupakan
sebuah kondominium yang betul-betul terletak di pusat bandaraya Melaka.
Rumahnya terletak di tingkat tiga belas.
F membawa isteri dan kedua anaknya untuk
melihat-lihat ke rumah baru mereka. Kondominium itu baru sahaja selesai
dibina dan ini merupakan kali pertama F ingin melihat keadaan rumahnya.
Dalam perjalanan ke rumah baru, F
terlibat dalam kesesakan jalan raya. Kesesakan tersebut berlaku di
hadapan Stadium Hang Tuah, dahulunya dikenali sebagai Stadium Kubu.
Kebetulan rumah baru F terletak berhampiran stadium tersebut, jadi
terpaksalah juga F mengharungi kesesakan untuk ke rumah itu.
F berasa sedikit pelik. Kesesakan jalan
raya berlaku disebabkan jumlah penonton yang ingin menyaksikan
perlawanan bola sepak di stadium itu terlalu ramai. Dalam benak fikiran F
berkata "game apa yang berlangsung pada petang ni?".
F sebenarnya sukakan pada sukan bola
sepak. Dengan sifat ingin tahunya, F menurunkan cermin kereta lalu
bertanya kepada seorang pemuda yang lagak dan gayanya ingin ke stadium.
"Bro, siapa lawan?" tanya F.
"Tak tahu ke? Petang ni Harimau Malaya lawan Thailand", jawab pemuda tersebut.
Dengan dahi berkerut F berkata, "Eh, biar betul... Bukan ke game dia minggu depan?"
"Diorang dah cepatkan. Game main petang ni", jawab pemuda itu.
"Apasal diorang main kat sini? Bukan kat Bukit Jalil ke?" tanya F yang kebingungan.
"Diorang main kat sini, saya pun tak tahu kenapa diorang tukar ke Melaka" jawab pemuda itu lalu terus berlalu.
Dalam hati F terus berkata, "patutlah ramai yang datang pakai baju Harimau Malaya".
Kurang lebih dua puluh minit mengharungi
kesesakan di hadapan stadium, akhirnya F dan sekeluarga tiba di
kondominium yang bakal menjadi kediaman mereka. F terus memandu kereta
dan menuju ke basement untuk parkir kereta.
Keluar sahaja dari kereta, anak lelaki F, MF Junior berkata "ayah, MF Junior nak pergi tengok bola ye?
Sambil menutup pintu kereta F menjawab ringkas "pergi le".
F dan keluarga terus berjalan menuju ke lift
untuk naik ke rumah mereka yang terletak di tingkat tiga belas. Perasan
F begitu berkobar-kobar untuk melihat rumah baru mereka. Ketika mahu menekan butang lift, F baru perasan anaknya MF Junior tiada di sisi.
"Mana MF Junior?" tanya F kepada isterinya.
"Mana saya perasan, saya bawa si kecil ni" Jawab isteri F yang sudah mula cuak sambil mengendong anak kecilnya AA Junior.
Tengok bola! Tiba-tiba F teringat kata-kata terakhir MF Junior sewaktu mereka keluar dari kereta sebentar tadi.
"MF Junior pergi tengok bola? Aduh, mengapakah anak sekecil itu aku benarkan dia pergi sendirian" bentak hati F.
F menyuruh isterinya terus naik ke rumah baru mereka sementara F sendiri pergi mendapatkan MF Junior. F kembali ke tempat parkir kereta, namun MF Junior tiada di situ. Sesekali F memanggil-manggil nama MF Junior namun tiada sahutan.
Keluar sahaja dari basement, F
terserempak dengan seorang wanita cina yang sudah berusia lalu bertanya
"Asoh, ada nampak budak kecil pakai baju biru, seluarpun biru?"
"Tala.. Tala lampak loo..." jawab wanita cina yang cukup pekat pelatnya.
"Aduh.. ke manalah budak ni? Takkan sekejab saja boleh hilang." Bisik hati F sendirian.
F tidak berputus asa, dia terus mencari
di lorong-lorong yang memisahkan kondominium dengan bangunan-bangunan
bersebelahan. Namun tetap gagal. MF Junior tidak dapat dikesan.
Lantas sekali lagi F teringat, MF Junior
hendak menonton bola sepak. Memang jarak antara kondominium dan stadium
tidak jauh, hanya kira-kira 200 meter sahaja. Mungkin juga MF Junior ke stadium.
"Tapi bagaimana hendak mencari di dalam stadium? Orang begitu ramai." F bertanya pada diri sendiri.
"Ah.. Apa-apapun, MF Junior perlu dicari" F mula bersemangat walaupun hatinya sudah mula berasa sayu.
Sampai sahaja di luar stadium, F
ternampak dua orang anggota polis yang berkawal di situ. F melaporkan
segala perihal kehilangan MF Junior kepada polis tersebut. Mereka berkata pihaknya akan berusaha bersama untuk mencari MF Junior.
F membuat keputusan untuk mencari MF Junior
di dalam stadium pula. Sampai sahaja di kawasan tempat duduk
berbumbung, jelas kedengaran dari pembesar suara stadium yang berteriak.
"Sesiapa ada ternampak seorang
kanak-kanak lelaki lingkungan 4 tahun berbaju dan berseluar berwarna
biru, sila serahkan kepada pihak FAM berhampiran pejabat stadium ini.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan baru sahaja hilang.
F terus cari dan mencari. Satu pusingan
stadium F berpusing mencari anak sulong kesayangannya itu. Air mata
mula bergelinang. Mata F mula berkaca sesekali terus mengalir ke pipi.
Orang yang hadir ke stadium begitu ramai, agak sukar untuk mencari MF Junior
di situ. F tanpa berputus asa terus mencari. Kadangkala dia berjalan
sambil memerhati ke barisan penonton. Ada kalanya dia berlari-lari anak
sambil-sambil berteriak nama MF Junior.
Sudah lebih satu jam F mencari di dalam kawasan stadium. MF Junior tetap gagal ditemui. Mata F mula bengkak. Air mata terus berjujuran.
F berlari keluar dari stadium untuk ke
rumahnya. Sampai di rumah F terus menangis teresak-esak bak anak kecil
dan terus mendakap isterinya.
"Abang tak jumpa MF Junior" Kata F kepada isterinya.
Dengan keadaan F yang terus berjujuran air mata, isterinya turut sama menangis menangisi kehilangan MF Junior.
"Mana abang nak cari lagi?" Tanya F kepada isterinya dalam keadaan yang amat teresak-esak.
"Marilah bang kita turun cari dia sama-sama" Jawab isteri F, yang turut mengalir air mata.
F dan isteri turun ke bawah dalam usaha sama-sama untuk mencari MF Junior. Seperti yang sebelumnya mereka terus mencari dan mencari di segenap sudut yang berkemungkinan MF Junior berada di situ. Namun, usaha mereka tetap gagal. MF Junior gagal ditemui. Tiada kesan atau jejak yang boleh dijadikan petunjuk.
F semakin pasrah. Sesekali dia seperti
hilang pertimbangan. Berlari mencari sambil menangis teresak-esak dan
memanggil-manggil nama MF Junior.
"MF Junior"
"MF Junior"
"MF Junioooooorrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr......!!!"
*****
F tersentak dari tidur. Terus terbangun. Seingatnya dia ada menyebut nama MF Junior semasa dia tersentak dari tidurnya tadi.
"Astargfirrullah... Mimpikah aku?" bisik hati F.
Seakan benar F rasakan. Lantas F terus bangun berdiri lalu keluar rumah. Dicari-carinya MF Junior. Tiada. Memang tiada. MF Junior tiada di situ.
Sekali lagi F mencari. Di halaman rumah tiada. Di belakang rumah tiada. Di khemah pun tiada. F terus memanggil-manggil MF Junior, yang selalunya dibahasakan dirinya sebagai 'abang'.
"Abang.... Abang...!!" F terus memanggil.
"Ye ayah. Abang kat sinilah." jawab MF Junior yang sedang bermain pasir di bawah rumah.
F terus memanggil anaknya lalu mendakap
erat seperti lama dia terpisah dengan anaknya. Anaknya juga hanya kaku
dalam pelukan F dan hanya membiarkan ayahnya memeluk erat.
Dalam hati F berkata "syukurlah ianya hanyalah mimpi"